Harapan Hati Malaysia Berhad

Pertemuan Strategik Bersama Gabungan Solidariti Pembebasan Palestin (GSPP)

Pada 13 Ogos 2025 lalu, Harapan Hati Malaysia (HHM) telah mengadakan pertemuan strategik bersama Gabungan Solidariti Pembebasan Palestin (GSPP) bagi membina jaringan kerjasama dan pertukaran pandangan mengenai isu kemanusiaan terutama di Palestin.

Sekretariat GSPP telah diwakili oleh Ustaz Ahmad Nu’man Mazlan, Pengurus Dunia Palestin Network dan Tuan M Firdaus Baharuddin dari Sahabat Serantau Malaysia. Pertemuan ini turut menyentuh kepentingan menyelaraskan naratif perjuangan Palestin, meningkatkan kesedaran masyarakat dan memperkukuh hubungan antara NGO dalam serta luar negara.

GSPP berkongsi peranan mereka sebagai platform yang menghimpunkan NGO-NGO Islam dalam mengetengahkan isu Palestin, memfokuskan kepada kesedaran awam bukan semata-mata sumbangan. Serta menyatakan kepentingan untuk mengelak daripada sebarang pengaruh politik kerana jelas pendirian mereka bagi misi pembebasan Palestin. Antara inisiatif utama yang dibincangkan termasuk penubuhan galeri Palestin bagi tujuan pendidikan dan kesedaran.

Semoga pertemuan kedua-dua pihak ini bukan sahaja dapat mengeratkan silaturahim antara dua NGO tetapi juga dapat memperkasakan naratif masing-masing yang ingin memperjuangkan nasib mereka yang tidak bernasib baik dan memberi kesedaran kepada masyarakat tentang pembebasan Palestin daripada penjajahan Israel.