
Ramai antara kita beribadah setiap hari terutama bersuci untuk solat dan ibadah solat itu sendiri namun tidak sedar bahawa sebahagian amalan itu mungkin tidak sah di sisi syarak. Puncanya adalah kerana tidak sempat mencari ruang untuk mendalami ilmu, terutama bagi mereka yang sibuk dengan bekerja. Sedangkan ilmu yang berkaitan dengan ibadah adalah fardhu ain, wajib dipelajari oleh setiap individu Muslim tanpa terkecuali.
Ilmu berkaitan ibadah ini bukan hanya tentang “bagaimana” kita melakukannya, tetapi juga “mengapa” dan “untuk siapa” ia dilakukan. Sebab itu, para ulama menegaskan bahawa setiap Muslim perlu mendalami dalam tiga cabang utama ilmu iaitu Akidah, berkaitan keimanan dan kepercayaan. Fekah, bagi memahami hukum hakam ibadah, muamalat dan sebagainya. Kemudian, Tasawuf, bagi menyucikan hati dan memperindah akhlak. Tanpa gabungan ketiga-tiga ini, ibadah kita mungkin hanya sekadar gerakan tubuh, ikut-ikutan tapi tiada jiwa dan penghayatan.
Dengan ilmu, kita dapat beribadah dengan yakin, bukan dengan was-was atau ikut-ikutan. Hati menjadi tenang kerana tahu setiap ibadah itu diterima, setiap wuduk itu sempurna dan setiap doa itu berpaksikan kefahaman yang benar. Inilah tujuan Projek Laman insyirah: Kelas Fiqh Manhaji khusus bab Taharah dan Solat bagi membantu mendidik umat Islam kembali memahami asas ibadah dengan cara yang mudah, tersusun dan memberi nilai dan kesan dalam ibadah.