MASJID WILAYAH, KUALA LUMPUR, 28 Feb
The Warnita dengan kerjasama Harapan Hati Malaysia telah menganjurkan sesi perkongsian dan Majlis Iftar Jama‘i yang berlangsung di Masjid Wilayah Persekutuan baru-baru ini, sekali gus menyemarakkan semangat ukhuwah serta memberikan sentuhan rohani kepada peserta yang hadir. Ketua Pegawai Eksekutif Harapan Hati Malaysia, Ustazah Dr Fatin Binti Halil telah menyampaikan tazkirah bertajuk Ramadan Sebagai ‘Reset’ Button dan menyifatkan Ramadan sebagai masa yang terbaik bagi seorang hamba memperbaharui dirinya dan menambah amal soleh sebanyak-banyaknya. Beliau turut menegaskan bahawa amal soleh hanya akan benar-benar memberi kesan sekiranya seseorang itu berjaya mengosongkan diri daripada dosa melalui rasa sesal dan taubat yang bersungguh. Beliau turut berkongsi kunci utama taubat, antaranya adalah meninggalkan semua dosa dan maksiat, menyesalinya dan tekad yang kuat untuk tidak lagi mengulangi kesilapan lampau. Beralih ke aspek fizikal pula, Coach Fatin mengisi slot seterusnya dengan berkongsi ilmu pemakanan seimbang. Selain tip menjaga diet, para peserta turut berpeluang melakukan pemeriksaan dan mendapatkan sesi konsultasi ringkas bagi mengetahui tahap kesihatan masing-masing supaya kekal bertenaga sepanjang berpuasa. Sebagai tanda kenang-kenangan, majlis diakhiri dengan pemberian hadiah Tabung Palestin Eksklusif oleh Harapan Hati Malaysia kepada semua peserta. Pemberian ini bertujuan menyuntik semangat buat semua untuk terus istiqamah bersedekah dan membantu saudara kita di Palestin sepanjang Ramadan ini.



