Harapan Hati Malaysia Berhad

Harapan Hati Malaysia Lancar Kempen Tabung Harapan Palestin di Tadika dan Sekolah

KAJANG, 13 Mac

Harapan Hati Malaysia (HHM) melancarkan inisiatif menyantuni tadika dan sekolah terpilih dengan kunjungan pertama ke Tadika Permata Harapan, Kajang, yang melibatkan kira-kira 20 orang pelajar. Program ini bertujuan menanam nilai berkongsi, bersedekah dan bersyukur sejak usia awal. Sesi perkongsian disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif HHM, Dr. Nur Fatin binti Halil, yang memperkenalkan para pelajar kepada kehidupan rakan sebaya mereka di Gaza. Mereka didedahkan keadaan anak-anak di sana yang tetap berusaha menimba ilmu dan terus bertahan walaupun berdepan pelbagai kesukaran. Para pelajar turut dibimbing untuk menghargai nikmat yang mereka miliki seperti dapat belajar dengan selesa, bermain dengan tenang dan tinggal di rumah yang aman tanpa peperangan. Kefahaman ini membantu mereka menyedari kepentingan berkongsi, bersikap sederhana dan mula bersedekah walaupun dengan jumlah yang kecil. Sesi ini juga menyaksikan bacaan Qunut Nazilah oleh para pelajar yang dilaungkan bersama dengan penuh bersemangat. Di penghujung program, HHM telah menghadiahkan tabung eksklusif kepada setiap pelajar serta guru-guru tadika sebagai galakan untuk mula menabung dan berkongsi rezeki. Paling menyentuh hati, seorang pelajar menyerahkan tabung peribadinya yang telah penuh untuk disampaikan kepada rakyat Gaza. Inisiatif ini diharapkan dapat menanam nilai kepedulian dan semangat perjuangan terhadap Masjid Al-Aqsa dalam diri generasi muda sejak awal usia, melalui amalan menabung dan bersedekah bagi membantu saudara mereka di Gaza.