Harapan Hati Malaysia Berhad

Jelajah Harapan Hati Malaysia Ke Sekolah Rendah Islam Al-Banna

KAJANG, 18 March 2026

Harapan Hati Malaysia (HHM) meneruskan siri kedua kunjungan lapangan bagi memupuk kesedaran perjuangan pembebasan Al-Aqsa di Sekolah Rendah Islam Al-Banna, di sini hari ini. Program ini merupakan kesinambungan inisiatif HHM selepas menyantuni peringkat prasekolah sebelum ini. Walaupun bilangan murid yang hadir adalah seramai 12 orang memandangkan sesi persekolahan hampir ke cuti perayaan Aidilfitri, namun program tetap berlangsung dengan penglibatan aktif melalui sesi soal jawab mengenai sejarah dan perjuangan rakyat Palestin. Program dimeriahkan dengan slot kuiz spontan bagi meninjau pengetahuan pelajar, di mana rata-rata murid memberikan jawapan yang baik hasil pendedahan daripada ibu bapa dan media massa. Sebagai galakan, murid yang berjaya menjawab telah dihadiahkan penanda buku (bookmark) bertemakan Ramadan. Selepas laungan doa Qunut Nazilah yang disampaikan dengan penuh semangat, pihak HHM mengadakan sesi penyerahan hadiah berupa Tabung Harapan Palestin kepada setiap murid dan guru bagi memulakan amalan menabung untuk Palestin di rumah. Sebagai kemuncak program, warga Sekolah Rendah Islam Al-Banna telah menyerahkan sumbangan tunai yang dikumpul lebih awal di sekolah untuk disalurkan terus bagi membantu rakyat Gaza melalui wakil HHM. Kunjungan diakhiri dengan sesi fotografi bersama dan laungan takbir, melambangkan solidariti serta sokongan padu murid-murid Sekolah Rendah Islam Al-Banna terhadap perjuangan Palestin.