
Jumaat, 25 Julai 2025 – Harapan Hati Malaysia (HHM) telah mengadakan kunjungan hormat ke pejabat Global Hayat juga sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Kunjungan ini bertujuan memperkukuh hubungan dua hala antara kedua-dua NGO dan membuka peluang kolaborasi pada masa hadapan. Ustaz Muhd Farhan bin Muhd Fadhil, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Global Hayat telah menyambut baik rombongan Harapan Hati Malaysia dan beliau juga berbesar hati berkongsi perkembangan dan projek terkini Global Hayat.
Harapan Hati Malaysia menyatakan minat untuk menimba pengalaman dan kepakaran daripada pengurusan Global Hayat secara langsung. Sepanjang sesi kunjungan, perbincangan menyentuh pelbagai aspek termasuk pengurusan organisasi, operasi media, pembangunan sukarelawan serta perancangan kempen bantuan. Perkongsian tersebut membuka ruang bagi memperkukuh struktur dalaman organisasi yang masih di peringkat awal pertumbuhan.
Perbincangan turut menyentuh kerangka kerjasama yang boleh dirancang pada masa akan datang iaitu dengan mengetahui bidang bantuan yang dijalankan masing-masing. Pertemuan ini juga menjadi ruang yang positif untuk mengenal pasti peranan masing-masing dalam menjayakan agenda kemanusiaan secara bersama.
Akhir kata, kunjungan hormat ini bukan sahaja mengeratkan ukhuwah antara dua organisasi, malah membuka jalan untuk kerjasama yang lebih tersusun dan menyeluruh pada masa akan datang. Pihak Harapan Hati Malaysia menyatakan komitmen beradaptasi dan berusaha menjadi NGO yang mampu menyumbang secara aktif kepada masyarakat.


