
Rabu, 23 Julai – Harapan Hati Malaysia telah mengadakan pertemuan rasmi secara atas talian bersama Khair Way Foundation yang berpusat di Turkiye. Pertemuan ini diadakan susulan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) rasmi antara kedua-dua NGO bagi memperkukuh jaringan kerjasama dalam menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada golongan yang memerlukan secara lebih sistematik.
Fokus perbincangan antaranya adalah untuk menjelaskan peranan masing-masing dalam kolaborasi operasi agar semua gerak kerja dapat dilaksanakan secara lebih teratur. Perbincangan turut menyentuh soal struktur operasi serta penyaluran bantuan agar prosesnya lebih lancar khususnya apabila melibatkan kawasan luar negara di Gaza yang memerlukan penyelarasan pelbagai pihak.
Antara agenda yang dibincangkan juga adalah tentang prosedur operasi yang digunakan oleh Khair Way Foundation dalam pengurusan bantuan dan pelaksanaan projek. Harapan Hati mengambil peluang ini untuk mendapatkan penjelasan lebih terperinci terhadap perkara tersebut serta berkongsi pendekatan yang telah dilaksanakan oleh pihak mereka di Malaysia.
Pertemuan ini menjadi langkah penting ke arah penyelarasan strategi antara kedua-dua NGO agar gerak kerja bantuan menjadi lebih efisien, telus dan berimpak tinggi. Harapan Hati Malaysia dan Khair Way Foundation komited untuk terus memperkukuh hubungan dan menjayakan misi bersama demi manfaat ummah.